Wednesday, September 14, 2011

RINDU


Hari itu aku ke tempat kerja dengan membawa Indah. Aku pimpin tangan Indah menuju ke kedai makan sekitar kawasan tempat kerja dan tetiba telefon bimbit aku berdering. Aku dimaklumkam emak ada di rumah. Terkejut seronok lalu aku cuba menghubungi emak . Puas aku cari nombor telefon emak tapi tak jumpak jumpak. Akhirnya, bila dah jumpak nombor telefon emak nak tekan punat simbol untuk “call” tak boleh pulak.


Cis tak guna punya Android ! Mahal saja tapi bila dok tekan tekan sentuh raba touch screen tu tak dapat dapat jugak nak connect to call !


Terus aku jalan laju-laju berpimpinan tangan dengan Indah dan terus ke pejabat untuk inform rakan sepejabat semua aku nak amik half day . Mak aku datang rumah yeay !


Hati aku seronok bukan kepalang.


Laju aku pandu kereta pancuan empat roda sambil sembang santai dengan Indah. Tapi yang anehnya sepanjang perjalanan menuju ke rumah jalan agak suram, gelap. Lampu tiang di sepanjang jalan semua tidak bernyala. Ah, lantak lah !


Sebelum sampai ke rumah , aku singgah di rumah maksu yang tak jauh dari rumah aku. Saat kereta berhenti, beberapa orang anak saudara aku gegas ke kereta untuk menyapa Indah. Lalu segera aku bertanya mereka emak aku ada di sini kah, di rumah maksu? Anak saudara aku tidak respons dan tidak endahkan soalan aku.


Segera aku masuk ke dalam rumah maksu. Suami aku duduk tenang di atas sofa memangku Hamas. Aku tanya suami aku mana emak ? Dia pun senyap tidak endahkan soalan aku.


Haih, depa ni buat suspens betoi lah !


Dengan keadaan diri yang terpinga -pinga aku segera duduk bersila atas lantai sebab rasa letih memandu gopoh untuk pulang berjumpa emak. Hampa bila semua orang buat selamba saja.



Saat terpinga dan kehampaan itu, tiba-tiba ada orang menghidangkan air untuk aku. Memandangkan aku duduk bersila, aku mendongakkan kepala untuk melihat siapa yang hidangkan air tersebut.


Alangkah berbunganya hati ini bila orang yang hidangkan air itu adalah emak!


Cantik dia berbaju kurung biru laut, beroles lembut wajahnya seolah usianya di sekitar 30-an. Dia senyum melihat aku.


Aku lantas menarik badan emak dan aku peluk erat tubuhnya. Sambil itu aku menangis teresak-esak penuh rindu dan sayang yang amat. Pipi kami berlaga saat berpelukan. Terasa begitu lembut dan licin pipi emak dan terasa “warm” saat pipi bersentuhan.


Aku menangis teresak-esak sampai terhinjut-hinjut bahu ini.

Tiada kata hanya tangisan. Rindu tersangat pada emak.


Sekejap sangat tak sampai seminit pun aku masih menangis teresak-esak terhinjut-hinjut bahu dan tetiba sedari tiada lagi tubuh emak dalam dakapan, bukan lagi di rumah maksu tapi aku di dalam bilik aku sendiri.


Di atas katil , memeluk diri sendiri , memeluk bahu sendiri yang kusangkakan pipi emak sambil menangis tersedu-sedu.



Ya Allah Ya Tuhanku..aku bermimpi rupanya di siang hari.

Ya Allah Ya Tuhanku.. betapa rindunya aku pada emak sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi.


Dan ya, aku menangis dari dalam mimpi hingga sedari terjaga.

Aku tak nak tafsir mimpi itu. Cukup sekadar aku dapat peluk emak walaupun dalam mimpi walaupun sekejap cuma.



Sejak emak meninggal dunia susah benar mimpi aku didatangi emak. Kadang-kadang bila rindu mencengkam, bila doa sudah dititipkan adalah jugak terdetik di hati ini agar emak muncul dalam mimpi. Mungkin juga sebab aku terlalu teringatkan arwah, terlalu pikirkan arwah maka minda aku memainkan peranan mencipta cerita didalam mimpi.


Yang pasti aku bukan berfantasi.


Aku memang merasai kehangatan tubuh & pipi emak saat kami berpelukan saat aku menangis teresak tanpa hentinya.



Aku rindu emak. Sangat.

Al-Fatihah.